Blogger Backgrounds

Tuesday 1 November 2011

Tanggungjawab Menjaga Kebersihan Sekolah..

 
Sampah, apa yang kita maksudkan dengan sampah? Secara kasarnya sampah bermaksud benda yang kita tidak perlukan lagi atau lebih ringkas lagi tidak berguna. Jika kita gunakan perkataan ‘sampah’ ini dalam konteks kehidupan sekeliling, sampah bermaksud jijik, hina, dan sudah pasti masyarakat tidak mahu akannya. Oleh itu sampah juga dimaksudkan kepada manusia yang ditolak oleh norma masyarakat seperti penagih dadah, pencuri, perogol dan sebagainya. Mereka ini dianggap ‘sampah masyarakat’. Tetapi saya tidak akan menyentuh tentang ‘sampah masyarakat’ ini, walaupun mungkin saya akan masukkan sedikit tentang mereka kerana mereka juga menghasilkan sampah setiap hari.

Hari-hari kita mendengar mengenai kempen kebersihan tidak kira di dada akhbar, kaca tv, mahupun di corong radio. Masing-masing dengan cara yang tersendiri untuk menerima mesej kebersihan ini. Tetapi benarkah mereka mendengar seruan itu atau kempen itu juga sama sahaja seperti mendengar hiburan pada mereka? Jika benar, maka tidak hairan lah masih terdapat sampah bergelimpangan di jalan-jalan raya, taman rekreasi, atau di mana sahaja. Demi mengatasi kekurangan pada mesej yang hendak disampaikan itu, bermacam-macam cara telah dipikirkan oleh pihak yang bertanggungjawap seperti kerajaan dan agensi yang menjalankan tugas menjaga kebersihan di Bandar. Jika hendak disebutkan di sini memang sudah terlalu banyak sekali. Jadi adakah pembuangan sampah di merata tempat oleh masyarakat disebabkan kempen kebersihan yang kurang? Mungkin benar tetapi kesalahan bukan terletak pada kempen yang kurang tetapi terletak pada individu itu sendiri.

Jika setiap anggota masyarakat mempunyai kesedaran kendiri, tidak perlu kerajaan menghabiskan masa dan ruang untuk membuat kempen kebersihan ini. Bagaimana pula caranya untuk menimbulkan kesedaran ini? Perlu diingat di sini, sudah berkurun lamanya kita memikirkan kaedah untuk memastikan tahap kebersihan berada pada tahap yang boleh dibanggakan. Saya amat pasti jika saya menyebut tentang cara-cara untuk menyedarkan masyarakat tentang kebersihan, ia juga adalah perkara yang sama akan disebut oleh media massa, malah oleh pelajar sekolah semasa mereka mengadakan pertandingan pidato atau syarahan. Begitu juga semasa mereka membuat karangan untuk peperiksaan mereka, jika semasa pidato mereka sedap bercakap sehingga kita juga mengiakan apa yang mereka kata kerana semestinya benda itu betul, tetapi benarkah mereka juga mengamalkannya? Perlu diingat, mereka dalam pertandingan, tujuan mereka hanya untuk menang! Begitu juga dalam peperiksaan, tujuan pelajar hanyalah untuk mendapat markah seberapa tinggi yang boleh! Jadi di sini dapatkah kita berfikir ada sesuatu yang tidak kena pada cara kita menyedarkan masyarakat tentang kebersihan? Sedangkan sejak di bangku sekolah lagi mereka diajar tentang kebersihan tetapi jika dilihat dari aspek lain sebenarnya mereka diajar untuk menjadi mementingkan diri sendiri! Apa tidaknya, mereka masuk pertandingan untuk menang, mereka buat karangan tentang kebersihan pula semata-mata demi markah peperiksaan mereka.

Adakah saya juga akan sama seperti mereka jika saya juga mengupas isi-isi karangan dan juga pidato yang mereka bincangkan? Sudah pasti saya tiada pilihan lain kerana sememangnya itu lah cara kita hendak menggalakkan cara hidup sihat. Saya ambil beberapa contoh isi-isi yang dikupas oleh mereka seperti memupukkan keinsafan di dalam diri tentang kebersihan melalui keagamaan, membanyakkan kempen-kempen kebersihan, mengajar pelajar sekolah tentang kebersihan, mengadakan gotong-royong, menyediakan lebih banyak tong sampah untuk kegunaan setempat, kitar semula, pertandingan syarahan dan pidato, penglibatan ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka di rumah, penguatkuasaan undang-undang dan banyak lagi. Terlalu banyak caranya untuk kita menggalakkan kebersihan. Saya tidak kata cara-cara itu salah, malah saya juga berpendapat itu lah cara yang ada buat masa kini. Di masa akan datang mungkin kita akan mengharapkan pada robot-robot untuk mengutip sisa-sisa sampah yang kita tinggalkan atau melalui kecanggihan sains dan teknologi kita juga mampu mengitar semula sampah sendiri di rumah!

Saya akan cuba menerangkan isi-isi yang saya sebutkan di atas tetapi dengan menyelitkan kelemahan cara-cara tersebut. Berkenaan memupuk kesedaran di peringkat sekolah seperti melalui pidato dan karangan telah pun saya bincangkan di awal tadi. Semasa saya di peringkat sekolah dulu juga sudah diadakan minggu gotong-royong di mana kelas tertentu dikehendaki membersihkan kawasan sekolah mengikut jadual mingguan. Pengawas juga dikehendaki mencatit nama pelajar yang didapati membuang sampah di merata tempat. Tetapi bagaimana pula dengan pelajar yang samseng? Selalunya mereka ini tidak akan melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini. Tidak kira sama ada mereka curi tulang atau pun melarikan diri ketika pelajar lain sibuk menjalankan tugas. Benarkah pelajar samseng sahaja yang membuang sampah di merata tempat? Jika kita lihat di persekitaran kita pada hari ini, contohnya di lebuh raya, pernah kah kita mengalami fenomena sampah melayang keluar dari kereta yang di pandu laju? Adakah mereka ini samseng atau tidak berpelajaran? Atau adakah itu diri anda sendiri? Jadi adakah anda berpelajaran? Jika kita lihat di tandas sekolah, kita pasti akan dapat melihat puntung rokok di mangkuk tandas atau di lantainya, begitu juga jika di tandas awam, nyatalah perbuatan itu bermula sejak di bangku sekolah! Merokok di dalam tandas sekolah sudah menjadi kesalahan disiplin apatah lagi membuang puntung rokok di mangkuk tandas. Pernah melalui pengalaman saya diugut oleh senior kerana mengadu aktiviti merokok mereka di tandas, kebetulan guru disiplin terlihat kejadian itu, saya terselamat ketika itu. Tetapi beberapa hari kemudian saya nampak dengan mata kepala saya sendiri guru tersebut juga merokok di kawasan sekolah secara sembunyi-sembunyi! Jadi pemilihan guru disiplin yang sesuai juga penting, bukan hanya dilihat pada luaran mereka yang nampak garang sudah boleh diiktiraf menjadi guru disiplin.

Tidak dinafikan kesedaran melalui keagamaan adalah paling penting, semua agama menitik beratkan kebersihan kerana kebersihan asas kepada rohani yang bersih. Tidak ada di dunia ini seorang yang alim berpakaian selekeh kecuali lah jika kurang kemampuan seperti di negara yang berperang atau sebab-sebab lain. Jika di sekolah sudah ada subjek pendidikan moral yang menyebut tentang kebersihan, jika di rumah ibu bapa akan memarahi kita jika alatan kita bersepah-sepah. Bagaimana pula dengan rumah yang ada orang gaji? Tanggungjawap menjaga kebersihan terletak pada amah, kasihan pada anak-anak yang tidak dididik untuk menjaga kebersihan sendiri, kesudahannya mereka tidak ada rasa tanggungjawap untuk membuang sampah di tempat yang betul kerana ada amah yang akan mengutipnya. Ibu bapa yang sibuk juga tidak ada masa untuk memberi didikan agama kepada anak-anak, tetapi bukan semua ibu bapa begitu. Jika kita mendapat didikan agama yang cukup dari ibu bapa kita pun, adakah kita akan mewarisi cara ibu bapa kita mendidik anak-anaknya?

Beralih pula pada penguatkuasaan undang-undang, jika di Singapura rakyatnya akan dikompaun jika dilihat membuang sampah merata tempat. Kita juga perlu melakukan sebegitu malah mungkin lebih hebat lagi seperti di tahan reman, disenarai hitamkan namanya buat seketika, di suruh bekerja membersihkan sampah buat sementara ketika cuti dan sebagainya. Jika di sekolah memang sudah lama ada undang-undang ini, dan sudah ada yang melanggarnya, maka sudah pasti jika diamalkan sebagai undang-undang negara ada yang akan masuk penjara! Di rumah juga ibu bapa boleh menetapkan undang-undang kebersihan. Undang-undang kebersihan tidak hanya melibatkan individu bagi kerajaaan, ia juga melibatkan syarikat-syarikat besar di mana masalah yang lebih besar mesti di atasi. Pembuangan sisa-sisa toksik di kawasan terpencil amat membimbangkan, kejadian ini akan membawa kepada penyakit dan boleh berlaku mutasi pada gen jika terkena sisa toksik ini seperti barah dan sebagainya. Syarikat yang menjalankan kegiatan kebersihan juga harus dipantau kerana tempat pelupusan sampah mereka juga adalah satu tempat yang tercemar! Banyak rungutan telah dibuat oleh penduduk setempat kerana tempat pelupusan sampah yang tidak terurus ini. Maka nyatalah pihak yang menguruskan tentang kebersihan sendiri tidak tahu menjaga kebersihan.

Dalam hal menjaga kebersihan ini memang lah terlalu rumit, banyak fakor harus di ambil kira, masalah kebersihan bukan masalah kita sahaja, ia masalah sejagat. Negara-negara maju seperti Amerika juga ada masalah dalam menjaga kebersihan. Oleh itu mereka sedar melalui teknologi mereka dapat mengatasi masalah ini. Kita juga harus berusaha untuk memajukan sains dan teknologi kita bukan sahaja untuk menjaga kebersihan tetapi dalam semua aspek kehidupan. Insya’Allah.

 

0 Orang Mendoakan Kami Menang: