Blogger Backgrounds

Tuesday 1 November 2011

Jasa Guru..

SETIAP tahun menjelang tarikh keramat 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan di seluruh negara. Apa yang penting adalah mengisi dan memenuhi hasrat tema berkaitan dengan sambutan Hari Guru.
Bagaimanapun, setiap guru sewajarnya berhasrat menjadi guru profesional dalam abad yang serba mencabar ini. Bidang dan tugas guru juga semakin luas dan mencabar.
Terdapat tiga jenis tugas guru yakni dalam bidang profesion keguruan, kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Justeru, guru adalah satu profesion yang membawa erti pekerjaan yang memerlukan keahlian khusus sebagai guru.
Jenis pekerjaan itu semestinya tidak dapat dilakukan sebarangan orang di luar bidang pendidikan. Jelaslah tugas guru penting untuk membentuk manusia ke arah kebaikan meliputi mendidik, mengajar dan melatih.
Dalam hal ini, mendidik bererti meneruskan dan mengembangkan nilai hidup. Mengajar bererti meneruskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Sementara melatih bererti mengembangkan ketrampilan kepada pelajar.
Tugas guru dalam bidang kemanusiaan meliputi tugas menjadikan dirinya sebagai ibu bapa kedua hingga menjadi idola kepada pelajarnya.
Pengajaran dan pembelajarannya menarik dan mudah difahami. Guru sentiasa menggunakan pendekatan kasih sayang, mesra, prihatin bagi mendekati, memahami keinginan dan kehendak pelajar.
Masyarakat menempatkan guru pada tempat yang lebih terhormat dari lingkungannya kerana daripada seorang gurulah masyarakat memperoleh ilmu pengetahuan ke arah pembentukan sesebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Pada zaman ini guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi pengganti ibu bapa, kaunselor, pembimbing dan rakan.
Guru mestilah mempunyai jiwa cekal dan semangat kental ke arah mendidik pelajar yang cemerlang akal budinya dalam dunia tanpa sempadan.
Hamka pernah berkata: “Seorang guru, baik guru mengaji atau guru di sekolah atau seorang guru yang hanya sekali kita temui tetapi kita beroleh pelajaran daripadanya, semuanya adalah jasa tidak dapat dibalas dengan harta benda”.
Demikianlah tinggi dan mulianya martabat guru kepada setiap manusia. Peribahasa Melayu mengingatkan kita “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi,”.
Begitulah juga dengan peribahasa ini, “Berguru dahulu sebelum bergurau”. Semuanya membawa maksud ketinggian martabat guru.
Tugas utama seorang guru adalah mengajar dan mendidik. Menurut pandangan Islam, orang yang menjadi guru diberi oleh Allah kelebihan berganda. Hadis Nabi Muhammad bermaksud “Bahawa orang yang berilmu harus mengajarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain dan pekerjaan mengajar itu amat terpuji.”
Ini tersebut dalam riwayat iaitu selepas Rasulullah menghantar Mu’az bin Jabal menjadi guru di Yaman, baginda berpesan kepadanya: “Sekiranya Allah memberi hidayat hingga kamu dapat memberi pelajaran kepada seseorang, yang demikian lebih baik bagimu daripada memiliki dunia berserta sekalian yang ada di dalamnya.”
Kini, seseorang guru hendaklah mempunyai kepimpinan bermoral seperti jujur dan amanah, bersikap proaktif dan berilmu serta berkemahiran, sekali gus intipati penting dalam pembangunan dan kemajuan pelajar di sesebuah sekolah.
Setiap guru tunjang penting negara dalam melahirkan modal insan yang mampu memacu pembangunan yang lebih pesat.
Oleh itu, setiap guru perlu mempunyai semangat tinggi untuk terus mencipta kecemerlangan akademik dan kokurikulum kepada setiap pelajarnya.
Guru bagaikan ibu bapa kepada murid atau pelajar. Kalau ibu bapa kandung memberi tempat tinggal, pakaian dan makan minum, guru pula memberikan ilmu, didikan, budi dan akhlak serta membentuk kepandaian dalam kehidupan.
Guru yang penyayang akan mengambil tahu masalah muridnya serta sedia mendengar dan memberi perhatian kepada muridnya.
Murid yang lemah dikasihani, yang silap ditegur dengan baik. Kecemerlangan pelajar adalah kejayaannya. Sebarang bantuan diperlukan oleh pelajar akan dibantu guru. Itulah guru yang penyayang.
Guru seumpama itu akan disanjung dan diingati oleh pelajarnya. Pelajar akan terasa rindu untuk ke sekolah. Pelajar akan mengikut arahan dan meniru peribadinya. Pendek kata guru itu akan menjadi idola kepada pelajarnya.
Hasil jalinan kasih sayang ini, sekolah akan menjadi model pendidikan yang terbaik. Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum akan dapat dicipta oleh sekolah tersebut hasil kerjasama erat.
Undang-undang dan peraturan sekolah akan sentiasa dipatuhi bukan kerana takut, tetapi sayang dan hormat kepada guru.
Pelajar akan berasa malu dan tidak akan melanggar disiplin sekolah kerana sikap guru yang terlalu baik kepadanya.
Sesungguhnya, guru yang bersahsiah tinggi bukan saja dapat menyampaikan pelajaran berkesan, tetapi memikat hati pelajarnya. Guru akan menjadi penasihat berkesan, sahabat baik dan menjadi contoh baik kepada pelajarnya.
Walaupun pada masa kini setiap guru akan menjadi profesional tetapi nilai yang baik itu tetap menjadi tunjang kepada seseorang guru.
Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menjaga kebajikan guru dengan perumahan yang selesa, memberi elaun khusus dan menyediakan pelbagai peluang kenaikan pangkat.
Jumlah elaun sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan sesuai dengan tanggungjawab yang disandang.
Bagi menjadikan setiap guru insan profesional, pembangunan pendidikan 2001-2010 memberi tumpuan kepada pendidikan prasekolah dan rendah, pendidikan menengah, pendidikan tertiari, program sokongan, pembiayaan pendidikan pengurusan dan ICT dalam pendidikan. Ini bertujuan untuk melahirkan rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Hakikatnya, seorang guru akan dipanggil guru selama-lamanya. Kata panggilan mesra kepada seorang guru adalah “cikgu”.
Meskipun seseorang guru itu sudah bersara, panggilan cikgu akan tetap kekal digunakan kenalan sebagai jasa martabat pendidik sepanjang hayatnya.

0 Orang Mendoakan Kami Menang: